Kisah ini diriwayatkan berlaku suatu ketika dahulu nun di sebuah negara yang diperintah oleh seorang raja di rumpun Indochina. Raja tersebut mempunyai seorang isteri yang sangat cantik jelita rupa parasnya. Manakala raja itu pula mempunyai sifat cemburu tahap 14 sehingga beliau sanggup membunuh sesiapa sahaja yang cuba bermain mata atau berbalas senyuman dengan isterinya. Disebabkan kecemburuan yang amat tinggi dan tidak mahu isterinya dilihat orang, maka dia telah menuntut satu ilmu ajaib iaitu ilmu yang dapat memasukkan isterinya ke dalam sebiji telur. Maka setiap kali dia keluar ke mana-mana, dia akan memasukkan isterinya ke dalam sebiji telur dan dibawanya bersama.
Arakian, setelah sekian lama hidup di istana, maka timbullah perasaan bosan di hati lalu mengajak isterinya keluar jalan-jalan makan angin di sebuah tempat peranginan di sebuah pergunungan di Kemboja. Maka setelah tiba di sebuah tempat yang molek dan indah untuk bersantai, si raja pun mengetuk sebiji telur yang dibawanya lalu menjelmalah si isteri yang sangat disayanginya itu. Setelah puas bercanda di tepian taman dengan bunyi deruan jeram yang jernih lalu si raja pun melabuhkan kepalanya ke riba si isteri sambil bermesraan. Akibat belaian mesra sambil mengusap-usap dan membelai kepala si raja bagai orang mencari kutu, maka terlenalah si raja tadi di pangkuan isterinya.
Maka berlakulah suatu peristiwa yang tidak disangka-sangka. Setelah memastikan yang si raja sudah terlena bagai mayat, tiba-tiba si isteri tadi mengeluarkan sebiji telur dari bajunya lalu menjelmalah seorang lelaki yang tampan setelah diketuknya telur itu. Astaga, meskipun begitu jagaan suaminya, rupa-rupanya dia masih boleh berlaku curang dan menjalin hubungan sulit dengan kekasihnya selama ini. Lalu ditinggalkannya si raja kelenaan sedangkan dia pergi bercengkerama dengan kekasihnya sehingga puas nafsu di hati. Kemudian itu barulah dia kembali ke pangkuan suaminya yang masih terlena bersama sebiji telur di dalam bajunya.
Sekonyong-konyong beristirehat dan jaga dari tidur, mereka pun ingin berangkat pulang ke istana. Namun sebelum mereka bertolak tiba-tiba sang raja bertemu dengan seorang kenalan rapat yang sudah lama tidak bertemu iaitu penjaga pergunungan tersebut. Maka si penjaga gunung yang sudah berusia tadi mempelawa si raja suami isteri untuk menjamu selera makan malam di tempatnya dan si raja menerima jemputan itu. Tiba di kediaman, penjaga gunung menyuruh anak gadisnya menyediakan santapan makan malam untuk 5 orang. Siap sahaja masakannya, si penjaga gunung pun menjemput si raja dan isterinya ke tempat hidangan yang disediakan. Setelah semuanya berada di tempat disediakan, si raja agak kehairanan kerana setahu dia, si penjaga gunung cuma tinggal berdua sahaja dengan anak gadisnya lalu ditanya, 'Untuk siapakah gerangan hidangan yang satu lagi ini sedangkan kita cuma berempat?'.
Lalu si penjaga gunung berkata,'Tuanku tanyalah sendiri akan isteri tuanku kerana orang yang kelima itu berada di dalam telur di dalam bajunya'.
Terkejut mendengar kata-kata si penjaga gunung, si isteri menjadi cemas menambahkan lagi kebingungan si raja. Maka setelah didesak, maka keluarlah si kekasih dari telur tadi. Maka terkedu dan terkelulah si raja dengan dahsyatnya kerana tidak menyangka-nyangka isteri yang begitu disayangi dan dijaga sebegitu rapi masih mengambil kesempatan mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain. Hancur luluh punah hati kecewa kalbu retak seribu kelam duniawi rasanya si raja. Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa melainkan meraung merayu-rayu memohon ampun atas kecurangannya, namun si raja hanya membatukan sahaja dirinya dengan air mata bercucuran.
Lalu tatkala itu juga dengan hati yang begitu dahsyat kecewanya, si raja melarikan diri ke sebuah tebing gunung lalu mencampakkan dirinya dari tebing yang curam lalu rosak binasalah hancur tubuh badannya membunuh diri dek tidak dapat menahan derita yang dialami akibat perlakuan isteri yang amat disayangi dan dijaga selama ini.
Melihat peristiwa tersebut, si isteri menjerit melolong seraya berkata, 'Aduhai zalimnya diriku! Isteri jenis apakah ku ini?Aku tidak layak lagi untuk hidup di dunia ini kerana telah curang kepada suamiku'. Lalu turut terjun ke dalam gaung yang dalam itu.
Terkejut dengan tindakan si isteri curang tadi, si kekasih juga tersentak dan berfikir bahawa dia juga tidak layak untuk hidup lagi. Disebabkan perbuatannyalah seorang isteri curang kepada suaminya. Lalu nekad mengambil keputusan yang sama dengan terjun ke dalam gaung membunuh diri. Akhirnya terkorbanlah ketiga-tiga jiwa tersebut dalam suasana yang begitu menyayat hati. Tamat.
So, moral of the story is, kadang-kadang walau segigih manapun kita berusaha menjaga orang yang disayangi dan sekuat manapun kita cemburu, jika mereka nak berlaku curang maka kecurangan tetap akan berlaku. Perasaan cemburu itu penting sebagai seorang suami kerana jika korang takde rasa cemburu maka korang adalah dayus. Namun harus diingat, jangan melampau dalam bercemburu. Aku pernah jumpa kes suami yang sangat kuat cemburu atau dalam istilah lain dipanggil cemburu buta sehingga musnah rumahtangga mereka. Tapi sekarang dia sudah arwah kena kanser lidah.
So kepada wanita-wanita yang bergelar isteri juga, jika anda rasa suami anda kuat cemburu, tolonglah jaga tingkahlaku anda, pakaian, percakapan serta pergaulan anda daripada menimbulkan rasa tidak senang di hati suami anda. Nanti aku cuba tulis perkara-perkara yang membuatkan si suami kurang rasa senang terhadap isterinya.
Seandainya peristiwa di atas berlaku juga yakni berlaku kecurangan (Na'uzubillahi min zaalik), ingatlah bahawa itu adalah ujian Allah terhadap korang! Janganlah sampai korang sanggup membunuh diri mahupun mengamuk lalu membunuh orang lain. Mungkin bunyinya agak ganas dan serius di sini, tapi itulah hakikatnya berapa banyak kes manusia membunuh dan dibunuh kerana kecurangan. Korang harus ingat bahawa iblis dan tenteranya sedang menanti untuk berpesta sakan apabila korang mati bunuh diri dan menjadi teman mereka di neraka jahannam selama-lamanya nanti. Juga kepada para isteri, janganlah korang berlaku curang kepada suami korang. Jika korang masih menaruh cinta dan belas kasihan kekasih korang dahulu lebih baik korang berterus terang dengan suami korang dan bagitahu suami supaya lepaskan korang dengan hati yang redha. Tapi apasal dulu korang kahwin ek?
Akhir kata peliharalah kesetiaan, tanamkanlah kepercayaan terhadap pasangan korang dan yang penting sekali ialah keimanan dan ketaqwaan kerana dengan taqwalah korang akan dapat keselamatan korang dunia dan akhirat.
p/s: Bersyukurlah korang yang dah mempunyai suami/isteri. Berapa ramai manusia yang menjadi anbutu/andartu kat Malaysia ni. Jagalah diri korang dan sayangilah suami/isteri korang sebelum mereka menjadi mayat.
1 comment:
Hikayat yang menarik buat saya. Ingatkan kepada diri kita sendiri dan orang lain bahawa Allah maha melihat lagi maha mendengar.Justeru bersikap jujur terhadap suami dan isteri amat penting dalam melayari bahtera hidup berumahtangga.
Post a Comment