Friday, March 30, 2007

Back to College

Tup tap tup tap pejam celik pejam celik terang gelap terang gelap terus malam. Ish ish ish....

Esok adalah hari kuliah terakhir aku. Minggu depan 7 April 2007 dah final exam. Exam? Dah lama xambil exam, kecut perut jugak sikit-sikit nak kena study balik hehe. Walaupun yang ni peringkat sijil je, namun sebagai seorang reservoir engineer, cabaran menguruskan masa amatlah memenatkan. Mana taknya, hari-hari kerja sampai kul 6, weekend pun kena datang jugak nak submit reservoir simulation run, pastu tatkala teman-teman serumah asyik lena diulit kedinginan pagi sabtu, aku terkial-kial menendang penghidup enjin Wave 125 yang baru dipasang rim sukan menuju ke dewan kuliah yang terletak di Nilai. Mungkin usaha aku ini tak sehebat pengorbanan korang, tapi inilah yang aku mampu lakukan setakat ini dalam persediaan menjadi pemimpin.

Kau amik kuliah apa zim?

Aku ambil Sijil Undang-undang Keluarga Islam dan Masyarakat kat USIM (Universiti Sains ISlam Malaysia) or formerly known as KUIM (Kolej Universiti Islam Malaysia). Kuliah ni dah start 6 Januari lagi. Program ini dijalankan selama 12 minggu dengan 12 jam kredit untuk setiap subjek yang terdiri daripada :

1- Konsep Keluarga dan Masyarakat Dalam Islam (Pensyarah: Pn Nik Salida Suhaila Nik Salleh)
2- Pengenalan Kepada Fiqh Usrah (Pensyarah: Ust Md Yunus)
3- Isu-isu Kekeluargaan dan Hubungan Dalam Masyarakat (Pensyarah: Pn Abida Abd Ghafar)
4- Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia (Pn Dina Imam Supaat)

Yuran yang dikenakan sangat berbaloi bagi aku iaitu sebanyak RM 350, cukup untuk menjadikan aku komited dengan kelas ini saban minggu. dan alhamdulillah, aku tak pernah missed walaupun satu kuliah.

Program sijil ini merupakan program yang pertama ditawarkan USIM kepada masyarakat umum. So kira kitorang ni the perintis la untuk program ni dan bakal dinilai sebagai produk pertama. Walaupun untuk permulaan hanya seramai lebih kurang 21 orang pelajar sahaja, namun kelas kitorang very happening kerana kebanyakan peserta merupakan mereka yang telah berpengalaman dan berkaitan dengan insitusi kekeluargaan dan masyarakat ni. Contohnya ada peserta terdiri daripada pendaftar nikah cerai merangkap Imam masjid Serdang Raya, Pegawai JKKK dari Perak, pasangan suami isteri yang merupakan guru veteran merangkap kaunselor di Bagan Lalang, Pegawai undang-undang, student master kaunseling, para ibu bapa dan ramai lagi yang kebanyakannya sudah lama 'makan garam'.

Yang bujang cuma tiga orang sahaja, seorang pegawai kerajaan bahagian akauntan dan seorang lagi penolong pendaftar merangkap pembantu Imam pendaftar nikah cerai tadi dan seorang lagi yang tengah menaip blog ni. Rupa-rupanya yang pembantu pendaftar nikah tadi juga merupakan junior kat Maahad dulu. Lepas amik STAM dia dapat offer jadi penolong pendaftar nikah cerai merangkap saksi masa akad nikah.

SO setiap kali kuliah berlangsung, banyak perbincangan dilakukan apabila student-student melontarkan permasalahan dan buah fikiran serta pengalaman yang mereka tempuhi. Dan dalam perbincangan tersebut banyak permasalahan yang berlaku dalam institusi keluarga yang kadang-kadang bila difikirkan boleh menghasilkan gelombang kefeningan kefala tahap 14. Bukannya apa, perasaan sedih, takut, bimbang, geram, marah, kesian sume berlegar seputar alam fikiran aku yang ingin menempuh alam berkeluarga nanti.

Kau nak jadi lawyer pulak ke zim amik sijil undang-undang ni?

Xdelah(ala-ala john abraham iklan syampoo). Aku amik kursus Sijil Undang-undang Keluarga Islam dan Masyarakat (SUKIM) adalah semata-mata sebagai persediaan untuk menjadi seorang pemimpin keluarga @ suami yang berwibawa. Untuk menjadi pemimpin yang berwibawa seseorang itu mestilah mempunyai ilmu dalam perkara yang bakal diceburinya. Korang rasa cukup ke dengan kursus kahwin selama sehari setengah dengan bayaran lebih kurang RM 50-80 (student-orang biasa) tu? Sedangkan rumahtangga yang hendak dibina adalah untuk berkekalan sehingga akhir hayat. Itu belum praktikalnya lagi. Bukan 'praktikal' tu! Tapi praktikal amalan-amalan agama yang perlu dilaksanakan. Tanpa ilmu bagaimana korang beramal?

Ada juga dibincangkan mengenai kursus pra-perkahwinan yang dijalankan sekarang ini. Walaupun aku belum menghadirkan diriku lagi tapi aku rasa kalau nak dibandingkan dengan pasangan yang berkahwin dulu-dulu tanpa wajib ada sijil kursus, maka ianya adalah sesuatu yang memang bagus. Cuma bergantung kepada kesedaran individu masing-masing. Cuba bayangkan mereka yang bukan dari background pendidikan agama tiba-tiba masa nak kahwin, dalam tempoh sehari setengah itulah mereka nak masukkan semua asas agama dalam kepala otak mereka. dan aku rasa dalam sehari setengah tu pun bukannya bincang pasal agama sebab ada slot-slot yang lain seperti kesihatan, komunikasi, kewangan dan lain-lain. Lepas daripada itu mereka pun pulang ke rumah dan kembali kepada rutin kehidupan harian mereka.

Kahwin ni orang cakap seolah olah membina masjid. Korang beria ria nak bina masjid tapi malas ke masjid, apa kes?!

Berbalik kepada segala permasalahan yang ditimbulkan sepanjang pengkuliahan tadi, aku dapati semua masalah tersebut berlaku apabila manusia tak kira samada pihak suami atau isteri meminggirkan agama dalam kehidupan mereka. Ingatlah bahawa Allah telah mengingatkan kita melaui firmanNya yang bermaksud

" Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku , maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta ".
( Tahaa / 20 : 124 )

Kadang-kadang aku kesian melihat kawan-kawan aku yang beria-ia nak bina masjid dengan berusaha dengan bersungguh-sungguh mengumpul harta benda dan wang ringgit semata-mata untuk mencukupi syarat wang hantaran yang tinggi. Aku tak nak komen tentang jumlah wang hantaran yang korang letak, cuma dalam masa korang berusaha berpenat lelah siang malam kerja kumpul duit, janganlah korang lupa pada perkara yang lebih penting lagi iaitu persiapan ILMU, IMAN dan AMAL.

Salah satu tujuan atau matlamat perkahwinan ialah untuk melahirkan zuriat yang soleh dan bertaqwa kerana ianya termasuk dalam salah satu daripada tiga perkara kebajikan yang tidak terputus selepas kita mati iaitu sedekah jariah yang kita lakukan, ilmu manfaat yang kita ajarkan dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapa.

Dan untuk mendapat anak-anak yang soleh, tak dapat tidak kita perlu mendidik ibunya dahulu yakni isteri kita. Tapi aku tengok cara pamuda-pemuda zaman sekarang mendidik bakal isteri mereka sangat hebat sekali. Belum nikah lagi sudah boleh berpegangan tangan, setiap hujung minggu bawa awek/tunang mengikuti siri kuliah di panggung-panggung wayang, jalan-jalan cari makan dan lain-lain. Dan bertambah heran lagi bila mak bapak diorang buat dek je bila anak dara mereka dibawa ke sana ke sini dengan alasan 'alah mereka dah lama bercinta, tak lama lagi dah nak kahwin dah', 'alah mereka bukannya buat perkara tak elok pun', 'takpe mak cik izinkan, lagipun mak cik kan dah kenal kamu, kenal keluarga kamu' dan lain-lain alasan.

Namun sebenarnya makcik dan pakcik tu belum kenal dengan iblis dan syaitan. Mak cik dan pak cik tak tahu ke yang mak cik dan pak cik telah membuka pintu jahanam sedikit demi sedikit. Tahukah makcik dan pakcik bahawa anak-anak muda sekarang ini keluar dari rumah dengan syahwat yang tinggi? Tahukah mak cik dan pak cik bahawa apabila seorang lelaki berdua-duaan dengan perempuan seumpama minyak petrol Primax3 dengan pemetik api, dengan hanya sedikit percikan api sahaja boleh menyemarakkan api yang membakar dengan dahsyat.

'Dah banyak kali dah mak cik izinkan diorang keluar bersama takde mende pun.'

Memangla xde mende lagi. Syaitan bukannya bodoh dalam menghasut nafsu manusia ni. Mula-mula memang la janji setakat keluar makan je, pastu mula gurau-gurau sentuh sikit-sikit, pastu dah pandai pegang tangan takut kena langgar kereta masa lintas jalan dan takut hilang sebab orang ramai kat shopping kompleks ni, pastu tengok wayang dalam gelap, pastu bila balik buat wayang pulak. Mula-mula memang la takde mende, bila ada mende baru 'Sudah terhantuk baru terngadah'!

Oh maafkan aku sekiranya aku berleter macam orang tua. Namun hakikatnya itulah puncanya apabila sifat MALU itu sudah luntur dari peribadi manusia terutamanya kaum wanita. Nabi kata MALU itu sebahagian daripada iman. Maka apabila kamu sudah tidak ada MALU maka buatlah apa yang kamu suka.

Maka apabila mak bapak tak MALU anak dara dibawa lelaki berpeleseran, bila anak dara sudah tidak MALU tubuh badannya didedah dan dipegang lelaki yang belum bergelar suaminya, bila wanita sudah tidak MALU mendedahkan auratnya, bila wanita sudah tidak MALU pakai baju kurung tapi kainnya terbelah dan dadanya terbuka, bila wanita sudah tidak MALU berbicara tanpa adab dan batasan dengan lelaki dan bila wanita yang bertudung pun boleh buat zed.ai.en.a bawah tangga maka.............. Oh.. korang lihatlah sendiri apa akibatnya!

Maka dari itu,Wahai kaum wanita yang budiman, peliharalah sifat MALU dalam dirimu. Tidak ada tempat lain yang lebih patut korang MALU selain MALU kepada ALLAH.

p/s: Untuk kaum yang seangkatan dengan aku, ingatlah bahwa kahwin itu memang seronok namun jangan lupa juga akan beratnya tanggungjawab korang bila bergelar suami nanti. Didiklah bakal isteri korang dengan didikan agama, didiklah mereka untuk solat di awal waktu dan tutup aurat dengan sempurna.

Monday, March 5, 2007

Hikayat dari Kerajaan Champa

Hikayat ini diceritakan dari mulut ke telinga oleh ayah aku ketika kami sekeluarga sedang berkumpul waktu aku pulang bercuti. Cerita ini adalah mengenai cemburu dan kesetiaan.

Kisah ini diriwayatkan berlaku suatu ketika dahulu nun di sebuah negara yang diperintah oleh seorang raja di rumpun Indochina. Raja tersebut mempunyai seorang isteri yang sangat cantik jelita rupa parasnya. Manakala raja itu pula mempunyai sifat cemburu tahap 14 sehingga beliau sanggup membunuh sesiapa sahaja yang cuba bermain mata atau berbalas senyuman dengan isterinya. Disebabkan kecemburuan yang amat tinggi dan tidak mahu isterinya dilihat orang, maka dia telah menuntut satu ilmu ajaib iaitu ilmu yang dapat memasukkan isterinya ke dalam sebiji telur. Maka setiap kali dia keluar ke mana-mana, dia akan memasukkan isterinya ke dalam sebiji telur dan dibawanya bersama.

Arakian, setelah sekian lama hidup di istana, maka timbullah perasaan bosan di hati lalu mengajak isterinya keluar jalan-jalan makan angin di sebuah tempat peranginan di sebuah pergunungan di Kemboja. Maka setelah tiba di sebuah tempat yang molek dan indah untuk bersantai, si raja pun mengetuk sebiji telur yang dibawanya lalu menjelmalah si isteri yang sangat disayanginya itu. Setelah puas bercanda di tepian taman dengan bunyi deruan jeram yang jernih lalu si raja pun melabuhkan kepalanya ke riba si isteri sambil bermesraan. Akibat belaian mesra sambil mengusap-usap dan membelai kepala si raja bagai orang mencari kutu, maka terlenalah si raja tadi di pangkuan isterinya.


Maka berlakulah suatu peristiwa yang tidak disangka-sangka. Setelah memastikan yang si raja sudah terlena bagai mayat, tiba-tiba si isteri tadi mengeluarkan sebiji telur dari bajunya lalu menjelmalah seorang lelaki yang tampan setelah diketuknya telur itu. Astaga, meskipun begitu jagaan suaminya, rupa-rupanya dia masih boleh berlaku curang dan menjalin hubungan sulit dengan kekasihnya selama ini. Lalu ditinggalkannya si raja kelenaan sedangkan dia pergi bercengkerama dengan kekasihnya sehingga puas nafsu di hati. Kemudian itu barulah dia kembali ke pangkuan suaminya yang masih terlena bersama sebiji telur di dalam bajunya.

Sekonyong-konyong beristirehat dan jaga dari tidur, mereka pun ingin berangkat pulang ke istana. Namun sebelum mereka bertolak tiba-tiba sang raja bertemu dengan seorang kenalan rapat yang sudah lama tidak bertemu iaitu penjaga pergunungan tersebut. Maka si penjaga gunung yang sudah berusia tadi mempelawa si raja suami isteri untuk menjamu selera makan malam di tempatnya dan si raja menerima jemputan itu. Tiba di kediaman, penjaga gunung menyuruh anak gadisnya menyediakan santapan makan malam untuk 5 orang. Siap sahaja masakannya, si penjaga gunung pun menjemput si raja dan isterinya ke tempat hidangan yang disediakan. Setelah semuanya berada di tempat disediakan, si raja agak kehairanan kerana setahu dia, si penjaga gunung cuma tinggal berdua sahaja dengan anak gadisnya lalu ditanya, 'Untuk siapakah gerangan hidangan yang satu lagi ini sedangkan kita cuma berempat?'.

Lalu si penjaga gunung berkata,'Tuanku tanyalah sendiri akan isteri tuanku kerana orang yang kelima itu berada di dalam telur di dalam bajunya'.

Terkejut mendengar kata-kata si penjaga gunung, si isteri menjadi cemas menambahkan lagi kebingungan si raja. Maka setelah didesak, maka keluarlah si kekasih dari telur tadi. Maka terkedu dan terkelulah si raja dengan dahsyatnya kerana tidak menyangka-nyangka isteri yang begitu disayangi dan dijaga sebegitu rapi masih mengambil kesempatan mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain. Hancur luluh punah hati kecewa kalbu retak seribu kelam duniawi rasanya si raja. Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa melainkan meraung merayu-rayu memohon ampun atas kecurangannya, namun si raja hanya membatukan sahaja dirinya dengan air mata bercucuran.

Lalu tatkala itu juga dengan hati yang begitu dahsyat kecewanya, si raja melarikan diri ke sebuah tebing gunung lalu mencampakkan dirinya dari tebing yang curam lalu rosak binasalah hancur tubuh badannya membunuh diri dek tidak dapat menahan derita yang dialami akibat perlakuan isteri yang amat disayangi dan dijaga selama ini.

Melihat peristiwa tersebut, si isteri menjerit melolong seraya berkata, 'Aduhai zalimnya diriku! Isteri jenis apakah ku ini?Aku tidak layak lagi untuk hidup di dunia ini kerana telah curang kepada suamiku'. Lalu turut terjun ke dalam gaung yang dalam itu.

Terkejut dengan tindakan si isteri curang tadi, si kekasih juga tersentak dan berfikir bahawa dia juga tidak layak untuk hidup lagi. Disebabkan perbuatannyalah seorang isteri curang kepada suaminya. Lalu nekad mengambil keputusan yang sama dengan terjun ke dalam gaung membunuh diri. Akhirnya terkorbanlah ketiga-tiga jiwa tersebut dalam suasana yang begitu menyayat hati. Tamat.

So, moral of the story is, kadang-kadang walau segigih manapun kita berusaha menjaga orang yang disayangi dan sekuat manapun kita cemburu, jika mereka nak berlaku curang maka kecurangan tetap akan berlaku. Perasaan cemburu itu penting sebagai seorang suami kerana jika korang takde rasa cemburu maka korang adalah dayus. Namun harus diingat, jangan melampau dalam bercemburu. Aku pernah jumpa kes suami yang sangat kuat cemburu atau dalam istilah lain dipanggil cemburu buta sehingga musnah rumahtangga mereka. Tapi sekarang dia sudah arwah kena kanser lidah.

So kepada wanita-wanita yang bergelar isteri juga, jika anda rasa suami anda kuat cemburu, tolonglah jaga tingkahlaku anda, pakaian, percakapan serta pergaulan anda daripada menimbulkan rasa tidak senang di hati suami anda. Nanti aku cuba tulis perkara-perkara yang membuatkan si suami kurang rasa senang terhadap isterinya.

Seandainya peristiwa di atas berlaku juga yakni berlaku kecurangan (Na'uzubillahi min zaalik), ingatlah bahawa itu adalah ujian Allah terhadap korang! Janganlah sampai korang sanggup membunuh diri mahupun mengamuk lalu membunuh orang lain. Mungkin bunyinya agak ganas dan serius di sini, tapi itulah hakikatnya berapa banyak kes manusia membunuh dan dibunuh kerana kecurangan. Korang harus ingat bahawa iblis dan tenteranya sedang menanti untuk berpesta sakan apabila korang mati bunuh diri dan menjadi teman mereka di neraka jahannam selama-lamanya nanti. Juga kepada para isteri, janganlah korang berlaku curang kepada suami korang. Jika korang masih menaruh cinta dan belas kasihan kekasih korang dahulu lebih baik korang berterus terang dengan suami korang dan bagitahu suami supaya lepaskan korang dengan hati yang redha. Tapi apasal dulu korang kahwin ek?

Akhir kata peliharalah kesetiaan, tanamkanlah kepercayaan terhadap pasangan korang dan yang penting sekali ialah keimanan dan ketaqwaan kerana dengan taqwalah korang akan dapat keselamatan korang dunia dan akhirat.

p/s: Bersyukurlah korang yang dah mempunyai suami/isteri. Berapa ramai manusia yang menjadi anbutu/andartu kat Malaysia ni. Jagalah diri korang dan sayangilah suami/isteri korang sebelum mereka menjadi mayat.